share button

Monday, April 29, 2019

TUKYA JADI PENCETUS PENULISAN NOVEL INI


Novel RUSUH DI KUALA merupakan novel atau buku pertama saya,  yang di tulis dan diterbitkan  setelah terlibat dalam dunia penulisan lebih 30 tahun.  Saya telah berkelana dalam pelbagai gerne bermula dengan cerpen, puisi, rencana dan berita dan akhir-akhir ini penulisan skrip drama TV.

Saya juga pernah menjadi orang suratkhabar bermula dengan BACARIA kemudian berpindah ke UTUSAN MALAYSIA dan akhir sekali dengan akhbar HARIAN WATAN. Selepas itu saya banyak menulis untuk pelbagai  akhbar dan majalah baik berkiatan politik mahupun agama.
 
Depan saya Mazlan Manan sifu dalam penulisan skrip drama
 juga dulunya Pengarang BACARIA. Tepi Mazlan Datuk
Rosham Nor dan belakang beliau Khairul Producer
drama & filem.
Tahun 2019 akan bermula era penulisan novel dan buku malah saya memberanikan diri menubuhkan syarikat penerbitan  kecil sendiri. Syarikat ini akan menerbitkan bahan bercetak danvideo. Ini bermakna tahun ini saya bukan saya akan menghasilkan buku dan novel malah akan menjadi penerbit kecil.

Memang ketika saya mula menulis novel saya berhasrat untuk terbitkan sendiri. Saya memang sudah ada pengalaman menerbitkan  dan mengurus penerbitan. Suatu masa dulu saya telah menerbitkan buletin politik untuk UMNO Pulau Pinang, Pemuda UMNO Pulau Pinang dan UMNO Bukit Mertajam.

Ketika itu sayalah pengurus penerbitan. Saya juga merupakan editor yang memikirkan pengisian buletin.  Saya juga  wartawan yang turun ke bawah mendapatkan bahan. Saya juga  jurufoto untuk buletin itu. Malah saya juga pengedar buletinnya.
 
Bergambarbersama Datuk Seri Anwar sebelum kami
berjalan naik bukit kolam semasa DSAI menjadi TPM
Saya banyak menimba pengalaman ketika itu. Cuma selepas itu,  saya tidak punya ruang dan kesempatan untuk  membuka dan menguruskan syarikat penerbitan seperti hari ini. Mungkin ada rahmatnya yang kita tidak tahu, hanya Dia Allah Yang Maha Besar  Yang Maha  Mengetahuinya.

Semuanya terbantut gara-gara penyingkiran Datuk Seri Anwar  Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, Timbalan Presiden UMNO dan seterusnya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang. Penyingkiran ini mengakibatkan meletusnya era reformasi negara.

Sebelum peristiwa itu saya telah menulis dua buah buku politik satu mengenai Masalah Melayu Pulau Pinang  dengan sokongan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan buku sejarah politik UMNO Bukit Mertajam dengan sokongan Tan Sri Dr. Ibrahim Saad. Kedua-dua projek ini terkubur kerana gelombang reformasi.
 
Bersama Tan Sri Dr. Ibrahim Saad
Ketika zaman Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri saya didekati oleh seorang penerbit melayu berasal dari Tasek Gelugor meminta saya menulis bab politik. Saya berjaya menyiapkan dua naskah manuskrip dan beliau telah membuat bayaran pendahuluan  namun senyap begitu saja.

Sementara penulisan Novel RUSUH DI KUALA ini bermula apabila guru menulis tak formal saya Ustaz Azizi Hj. Abdullah atau saya panggil Tukya mencabar saya.  Suatu hari saya terserempak dengan Tukya di kedai makan di kampung saya dan saya lepak dan bersembang dengan Tukya.

Tukya berkata dia kagum dengan kebolehan saya menulis. Sejak dia mengenali saya selepas cerpen pertama saya tersiar dan saya mengadap Tukya untuk mendapat bimbingan dan tunjuk ajarnya Tukya mengikuti perkembangan penulisan saya.

“Aku tabik bakat hang, hang . boleh menulis cerpen, puisi, rencana baik agama mahupun politik tapi sayang sampai hari ini aku tak pernah tengok  senaskah buku hang ada di pasaran. Tulis di akhbar dan majalah akhirnya akan menjadi  kertas pembalut nasi lemak. Kalau hang hasilkan buku atau novel, buku atau novel hang akan berada di almari buku hang dan orang. Aku nak tengok!” lebih kurang intipati cabaran Tukya kepada saya.
 
Tukya melayan peserta dan peminatnya
Selepas  cerpen pertama saya tersiar, saya memang seronok tapi saya tahu masih ada kekurangan tapi saya tidak dapat kenal pasti. Lalu saya mencari jalan untuk bertemu dengan Tukya dengan membawa salinan cerpen saya juga saya lakar cerpen baru berjudul “Nenek Uteh”.

Ketika saya sampai depan rumah Tukya bersama kawan saya dan dia memang kenal rapat dengan Tukya, saya terlihat tulisan Rumah Tukya di rumahnya. Saya yakin ustaz Azizi senang dengan nama itu lalu saya meminta izin memanggil Ustaz Azizi dengan panggilan Tukya.

Cerpen pertama yang tersiar mendapat kritikan hebat dari Tukya. Saya juga mendapat kritikan dari cerpen “Nenek Uteh” yang saya buatkan khas untuk Tukya nilai. Sehingga hari ini cerpen “Nenek Uteh” gagal saya tulis semula. Namun segala kritikan Tukya banyak membantu saya berkarya seterusnya.

TUNGGU PENAWARAN PRA PENCETAKAN NOVEL RUSUH DI KUALA NANTI. DAN IKUTI CERITA BAB PENULISAN NOVEL INI DI SINI.

PENERBITAN VIDEO

JANGAN LEPASKAN PELUANG
ABADIKAN KISAH HIDUP ANDA